Soalan:

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Di manakah tempat mustajab untuk berdoa untuk jemaah wanita?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Di antara tempat mustajab berdoa adalah:

1. Masjidil Haram.
2. Di dalam Baitullah.
3. Di sekitar Zamzam.
4. Safa dan Marwah.
5. Mas‘a.
6. Di belakang Maqam Ibrahim.
7. Arafah.
8. Muzdalifah.
9. Mina.
10. Ketiga-tiga jamrah.

Ini adalah sepertimana yang disebutkan oleh Mujahid bahawa tidak seorang hamba pun berdiri lalu menuju ke arah Multazam,  di dalam Baitullah, di sekitar Zamzam, di Safa dan Marwah, di Mas‘a, di belakang Maqam Ibrahim, di Arafah, Muzdalifah, Mina, dan di ketiga-tiga Jamarat, juga di tempat-tempat lain yang telah menjadi amalan masyarakat, kemudian berdoa kepada Allah SWT melainkan Dia akan mengabulkannya. (Lihat Ghiza’ al-Albab fi Syarh Manzumah al-Adab, 2/514).

Selain itu terdapat juga riwayat daripada al-Hasan al-Basri  bahawa beliau dalam risalahnya yang terkenal kepada penduduk Makkah menyebutkan, sesungguhnya doa yang mustajab terdapat pada lima belas tempat iaitu ketika tawaf, di Multazam, bawah mizab, dalam Kaabah, ketika minum zamzam, atas bukit Safa dan Marwah, ketika saie, belakang maqam Ibrahim, di Arafah, di Muzdalifah, di Mina dan ketika melontar di ketiga-tiga jamrah. (Lihat al-Taudih Syarh al-Idhah fi Manasik al-Hajj wa al-‘Umrah, hlm. 183)

  • Ketika melihat Kaabah.

Ini disebutkan dalam hadith Abu Umamah al-Bahili R.A, Rasulullah SAW bersabda:

تُفْتَحُ أَبْوَابُ السَّمَاءِ، وَيُسْتَجَابُ الدُّعَاءُ فِي أَرْبَعَةِ مَوَاطِنَ: عِنْدَ الْتِقَاءِ الصُّفُوفِ، وَعِنْدَ نُزُولِ الْغَيْثِ، وَعِنْدَ إِقَامَةِ الصَّلَاةِ، وَعِنْدَ رُؤْيَةِ الْكَعْبَةِ

Maksudnya: “Pintu-pintu langit dibuka dan diperkenankan doa di empat tempat: Ketika bertemunya pasukan (ketika perang), ketika turunnya hujan, ketika iqamat solat dan ketika melihat Kaabah.”

Riwayat al-Baihaqi dalam al-Sunan al-Kabir (6460) dan al-Da‘awat al-Kabir (669); dan al-Tabarani dalam al-Du‘a (168)

  • Antara Rukun Yamani dan Hajarul Aswad ketika tawaf.

Ini adalah sebagaimana yang dinyatakan oleh Imam al-Nawawi dengan menukilkan, ashab kami berkata: Di antara Rukun Yamani dan Hajarul Aswad adalah lebih ditekankan untuk dibaca doa, dan dia berdoa di antara pusingan tawafnya dengan apa-apa doa yang disukainya daripada urusan agama dan dunia untuk dirinya sendiri, juga kepada sesiapa yang disukainya dan kaum Muslimin secara umumnya. (Lihat al-Taudih Syarh al-Idhah fi Manasik al-Hajj wa al-‘Umrah, hlm. 183)

  • Raudhah di dalam Masjid Nabawi.

Dalam hadith ‘Abdullah bin Zaid al-Mazini R.A, Rasulullah SAW bersabda:

مَا بَيْنَ بَيْتِي وَمِنْبَرِي رَوْضَةٌ مِنْ رِيَاضِ الجَنَّةِ

Maksudnya: “Kawasan di antara rumahku dan mimbarku adalah sebuah taman daripada taman-taman syurga.”

Riwayat al-Bukhari (1195) dan Muslim (1390)

  • Masjid Nabawi

Dalam hadith Abu Hurairah R.A bahawa Rasulullah SAW bersabda:

صَلَاةٌ فِي مَسْجِدِي هَذَا أَفْضَلُ مِنْ أَلْفِ صَلَاةٍ فِيمَا سِوَاهُ إِلَّا الْمَسْجِدَ الْحَرَامَ

Maksudnya: “Solat di masjidku ini (Masjid Nabawi) lebih baik daripada seribu kali solat di tempat lain kecuali masjid al-Haram.

Riwayat Muslim (1394)

Imam al-Nawawi mengatakan bahawa kelebihan solat di masjid al-Nabawi melebihi solat di masjid lain dengan seribu kali solat ganjaran yang diberikan melainkan solat di masjid al-Haram kerana ia melebihi seribu solat sebagaimana yang dijelaskan di dalam hadith. (Lihat al-Minhaj Syarh Sahih Muslim, 9/163).

Kami akhiri dengan doa:

 رَبَّنَا تَقَبَّلْ مِنَّا إِنَّكَ أَنتَ السَّمِيعُ الْعَلِيمُ ، وَتُبْ عَلَيْنَا إِنَّكَ أَنتَ التَّوَّابُ الرَّحِيمُ ‎

Maksudnya: “Wahai Tuhan kami! Terimalah daripada kami (amal kami); sesungguhnya Engkaulah yang Maha Mendengar, lagi Maha mengetahui; dan terimalah taubat kami; sesungguhnya Engkaulah Maha Penerima taubat, lagi Maha Mengasihani.”

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *