Soalan:

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Apakah hukum bagi Wanita yang mahu melakukan tawaf tetapi tidak mengambil berat akan haidnya dan berada keadaan istihadah?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Wanita yang berada dalam keadaan haid pada asalnya tidak dibolehkan untuk melakukan tawaf kerana antara syarah sah tawaf adalah suci daripada hadas. Namun sekiranya dia berada dalam keadaan beristihadah dia diharuskan untuk melakukan tawaf kerana orang yang sedang beristihadah dihukumkan sebagai suci. Dalam keadaan tersebut, dia dikehendaki untuk memakai tuala wanita atau seumpamanya bagi mengelakkan kotoran tersebar pada pakaian disamping menjaga kesucian Masjid al-Haram.

Telah dinyatakan dalam kitab al-Jami‘ li ‘Ulum al-Imam Ahmad (8/43) bahawa Soleh bertanya kepada Imam Ahmad: Adakah dibolehkan tawaf bagi orang yang beristihadah? beliau menjawab: Ya, orang yang beristihadah sama kedudukannya dengan orang yang suci dan dia boleh melakukan tawaf.

Kami akhiri dengan doa:

 رَبَّنَا لَا تُؤَاخِذْنَا إِن نَّسِينَا أَوْ أَخْطَأْنَا ۚ رَبَّنَا وَلَا تَحْمِلْ عَلَيْنَا إِصْرًا كَمَا حَمَلْتَهُ عَلَى الَّذِينَ مِن قَبْلِنَا ۚ رَبَّنَا وَلَا تُحَمِّلْنَا مَا لَا طَاقَةَ لَنَا بِهِ ۖ وَاعْفُ عَنَّا وَاغْفِرْ لَنَا وَارْحَمْنَا ۚ أَنتَ مَوْلَانَا فَانصُرْنَا عَلَى الْقَوْمِ الْكَافِرِينَ

Maksudnya: “Wahai Tuhan kami! Janganlah Engkau mengirakan kami salah jika kami lupa atau kami tersalah. Wahai Tuhan kami! Janganlah Engkau bebankan kepada kami bebanan yang berat sebagaimana yang telah Engkau bebankan kepada orang-orang yang terdahulu daripada kami. Wahai Tuhan kami! Janganlah Engkau pikulkan kepada kami apa yang kami tidak terdaya memikulnya. Dan maafkanlah kesalahan kami, serta ampunkanlah dosa kami, dan berilah rahmat kepada kami. Engkaulah Penolong kami; oleh itu, tolonglah kami untuk mencapai kemenangan terhadap kaum-kaum yang kafir.”

(Surah al-Baqarah: 286)

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *