Soalan:

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Berapa bulankah usia kandungan yang sesuai untuk wanita menunaikan umrah?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Secara umumnya, wanita hamil boleh menunaikan umrah pada mana-mana usia kandungan selagi mana dia berkemampuan untuk melakukan perjalanan dan amalan-amalan semasa umrah merangkumi perkara rukun dan wajib umrah tanpa membahayakan kesihatan diri dan janinnya. Walau bagaimanapun, disarankan untuk berjumpa doktor sebelum membuat keputusan untuk menunaikan umrah semasa hamil. Ini kerana setiap wanita hamil mempunyai keadaan yang berbeza dan keperluan kesihatan yang berbeza. Doktor boleh memberikan nasihat yang sesuai berdasarkan keadaan kesihatan individu dan peringkat kehamilan.

Selain itu, keputusan menunaikan umrah semasa hamil juga bergantung kepada kesesuaian dan keselesaan wanita itu untuk melakukan perjalanan terutamanya melibatkan kenderaan atau pengangkutan. Ini kerana sebahagian mereka yang jauh seperti dari Malaysia misalnya, akan menaiki kapal terbang. Menurut sebahagian pakar perubatan, masa paling selamat melakukan perjalanan udara ketika hamil adalah sewaktu trimester kedua, iaitu minggu ke-13 hingga 28. Ini kerana kebiasaannya, pada tempoh ini, morning sickness atau keletihan yang dialami pada trimester pertama sudah beransur hilang. Selain daripada itu, kebanyakan polisi syarikat penerbangan tidak akan membenarkan wanita hamil menaiki pesawat jika kandungan melebihi 36 minggu. Jika kandungan sudah berusia lebih 36 minggu, wanita hamil perlu mendapatkan surat sokongan rasmi daripada doktor.[1]

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ عِلْمًا نَافِعًا، وَرِزْقًا طَيِّبًا، وَعَمَلاً مُتَقَبَّلاً

Maksudnya: “Ya Allah, kami memohon kepada-Mu ilmu yang bermanfaat, rezeki yang baik dan amalan yang diterima.”

 

Nota Hujung:

[1] Lihat artikel bertajuk: “Wanita Hamil Tidak Boleh Naik Pesawat, Kenapa?” yang ditulis oleh Asyikin Md Isa. Artikel ini disemak secara perubatan oleh Dr. Joseph Tan pada 01/07/2020. Diakses pada 25 Mac 2024.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *