Soalan:

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Apakah hukum wanita yang sudah berniat ihram tetapi tidak melakukan umrah?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Bagi yang sudah berniat ihram akan tetapi tidak menyempurnakan umrah, dia dikehendaki untuk membayar dam. Ini kerana Ibadah umrah dan haji apabila seseorang itu sudah berniat, diwajibkan ke atasnya untuk menyempurnakannya sebagaimana firman Allah SWT:

وَأَتِمُّوا الْحَجَّ وَالْعُمْرَةَ لِلَّـهِ ۚ

Maksudnya: “Dan  sempurnakanlah Ibadat Haji dan Umrah kerana Allah..”

(Surah al-Baqarah :196)

Ayat di atas ditafsirkan bahawa sesiapa yang berniat ihram dengan salah satu daripada ibadah ini (haji atau umrah), maka wajib ke atas dirinya untuk menyelesaikan dan menyempurnakan ibadah berkenaan. Namun, terdapat pendapat lain menyatakan bahawa maknanya adalah menyempurnakan ibadah haji dan umrah secara berasingan — yakni satu persatu — bukannya dengan cara tamattu‘ dan qiran. (Lihat Zubdah al-Tafasir min Fath al-Qadir, hlm. 38)

Habib Hasan bin Ahmad al-Kaff menyebutkan: mereka yang tersekat atau terhalang daripada menyempurnakan rukun-rukun Haji dan Umrah hendaklah bertahallul dengan menyembelih kambing (atau berkongsi 1/7 bahagian daripada unta atau lembu), kemudian bercukur (atau bergunting dengan sekurang-kurangnya 3 helai rambut), bersama niat tahallul dengan kedua-duanya. (Lihat al-Taqrirat al-Sadidah, hlm. 511).

Kami akhiri dengan doa:

اللّٰهُمَّ اجْعَلْ حَجَّنَا حَجًّا مَبْرُوْرًا، وَعُمْرَتَنَا عُمْرَةً مَبْرُوْرًةً، وَسَعْيَنَا سَعْيًا مَشْكُوْرًا، وَذَنْبَنَا ذَنْبًا مَغْفُوْرًا، وَعَمَلَنَا عَمَلًا صَالِحًا مَقْبُوْلًا، وَتِجَارَتَنَا تِجَارَةً لَنْ تَبُوْرَ.

Maksudnya: “Ya Allah! Jadikanlah haji kami, haji yang mabrur, umrah kami, umrah yang mabrurah, sa’ie kami sa’ie yang diterima, dosa kami dosa yang diampuni dan amalan kami amalan soleh yang dikabulkan dan perniagaan kami perniagaan yang tidak akan mengalami rugi selamanya.”

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *