Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya ada soalan. Baru-baru ini, saya ada melihat satu inovasi payung bagi jemaah haji atau umrah, di mana payung tersebut tidak perlu pun untuk dipegang, tetapi berada di atas kepala (tanpa bersentuhan dengan kepala) serta dapat memayungi jemaah dari panas terik. Jadi, soalannya, bolehlah ia digunakan bagi jemaah lelaki dan adakah ia termasuk dalam larangan ihram? Contoh payungnya adalah seperti di pautan ini. Mohon pencerahan. Terima kasih.
Inovasi Baru, Payung UV Jemaah Haji yang Bisa Dipakai Sujud

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Dalam menjawab soalan di atas, sebenarnya isu ini timbul disebabkan terdapatnya larangan daripada menutup kepala bagi orang lelaki yang sedang dalam ihram. Ini sebagaimana riwayat daripada Abdullah bin Umar R.Anhuma bahawa:

أَنَّ رَجُلًا قَالَ: يَا رَسُولَ اللَّهِ، مَا يَلْبَسُ المُحْرِمُ مِنَ الثِّيَابِ؟ قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: لاَ تَلْبَسُوا القَمِيصَ، وَلاَ العَمَائِمَ، وَلاَ السَّرَاوِيلاَتِ، وَلاَ البَرَانِسَ، وَلاَ الخِفَافَ، إِلَّا أَحَدٌ لاَ يَجِدُ النَّعْلَيْنِ فَلْيَلْبَسْ خُفَّيْنِ، وَلْيَقْطَعْهُمَا أَسْفَلَ مِنَ الكَعْبَيْنِ، وَلاَ تَلْبَسُوا مِنَ الثِّيَابِ شَيْئًا مَسَّهُ زَعْفَرَانٌ وَلاَ الوَرْسُ

Maksudnya: “Seorang lelaki bertanya: ‘Wahai Rasulullah, apakah pakaian yang dipakai oleh orang yang sedang ihram?’ Rasulullah SAW bersabda: ‘Janganlah kalian memakai baju-baju, serban-serban, seluar-seluar, burnus-burnus  (pakaian labuh seperti jubah, yang mempunyai penutup kepala, atau berhud), dan khuf  (kasut kulit yang menutupi kaki hingga buku lali), kecuali jika seseorang itu tidak mempunyai sepasang selipar, maka pakailah khuf dan hendaklah dia memotong kedua-duanya hingga bawah buku lali. Dan janganlah kalian memakai apa pun pakaian yang terkena za‘faran  dan wars  (sejenis tumbuhan yang digunakan untuk mewarnakan pakaian).’

Riwayat al-Bukhari (5803)

Berlindung dari panas matahari bagi orang yang sedang ihram untuk menghindari sinar matahari dan panasnya dengan sesuatu yang mengikutinya; seperti berteduh dengan sesuatu yang diangkat di atas kepalanya seperti dengan menggunakan payung, termasuk dalam perkara yang para fuqaha berselisih pendapat berkenaan hukumnya; di mana majoriti ulama daripada kalangan Hanafiyyah, Syafi‘iyyah, dan Hanabilah dalam salah satu riwayat yang dipilih oleh Imam al-Khiraqi membolehkannya, dan dipersetujui oleh beberapa muhaqqiq daripada kalangan Malikiyyah; seperti Syeikh al-‘Allamah Khalil bin Ishaq.

Imam Ibn Nujaym al-Hanafi dalam al-Bahr al-Ra’iq (2/349) ketika menyebutkan mengenai larangan-larangan ihram: (Menutup wajah dan kepala) iaitu: dan elakkan menutup kedua-duanya… dan yang dimaksudkan dengan menutup kepala adalah: menutupnya dengan sesuatu yang biasanya digunakan untuk menutup (kepala) seperti kain. Justeru, tidak termasuk daripadanya sesuatu yang biasanya tidak digunakan untuk menutup seperti bakul, pinggan, dan bekas.

Begitu juga al-‘Allamah Ibn ‘Abidin al-Hanafi menyebutkan dalam Radd al-Muhtar (2/547) mengenai perkara yang dilarang untuk dilakukan oleh orang yang sedang dalam ihram: [atau menutup kepalanya] dengan sesuatu yang biasa digunakan. Namun, jika dia membawa bekas atau bakul (di atas kepalanya) maka tidak mengapa.

Selain itu, Syeikh Khalil al-Maliki juga ada menyebutkan mengenai apa yang dibolehkan untuk dilakukan bagi orang yang sedang ihram dalam al-Taudhih (3/75) bahawa dia boleh mengangkat sesuatu di atas kepalanya untuk melindunginya daripada hujan. Akan tetapi dia tidak boleh meletakkannya di atas kepalanya kerana panas yang terik. Namun, pendapat yang lebih dekat kepada kebenaran adalah hal itu dibolehkan. Ini berdasarkan apa yang terdapat dalam Sahih Muslim serta sunan Abu Dawud dan al-Nasa’i daripada Ummu al-Husain R.Anha, katanya:

حَجَجْتُ مَعَ رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ حَجَّةَ الْوَدَاعِ، فَرَأَيْتُ أُسَامَةَ وَبِلاَلاً وَأَحَدُهُمَا آخِذٌ بِخِطَامِ نَاقَةِ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ وَالآخَرُ رَافِعٌ ثَوْبَهُ يَسْتُرُهُ مِنَ الْحَرِّ حَتَّى رَمَى جَمْرَةَ الْعَقَبَةِ

Maksudnya: “Aku menunaikan haji bersama Rasulullah SAW ketika haji wada’. Ketika itu, aku melihat Usamah dan Bilal, salah seorang daripada mereka memegang tali kendali unta Nabi SAW, dan yang seorang lagi menaikkan pakaiannya untuk menutupi kepala Baginda daripada terik matahari, sehingga mereka melempar Jamrah al-‘Aqabah.”

Selain daripada itu, Imam al-Nawawi al-Syafi‘i turut menyatakan, mazhab kami (al-Syafi‘i) membolehkan bagi orang yang sedang dalam ihram untuk berteduh di dalam kenderaan dengan apa sahaja sama ada ketika menunggang (atas tunggangan) atau turun (dari tunggangan). Ini juga merupakan pendapat Abu Hanifah. Dalil kami adalah hadith Ummu al-Husain R.Anha, dan juga kerana perbuatan itu tidak dianggap sebagai memakai pakaian. (Lihat al-Majmu‘ Syarh al-Muhazzab, 7/267-268).

Begitu juga Imam Ibn Qudamah al-Hanbali menyebutkan dalam al-Kafi (1/490) bahawa berkenaan berteduh di dalam kenderaan, terdapat dua riwayat. Riwayat yang kedua menyatakan, dibolehkan baginya untuk berteduh kerana ia tidak bersentuhan langsung dengan kepala, serupa dengan khemah, dan dibolehkan baginya untuk berteduh dengan kain yang diikat pada kayu; berdasarkan apa yang diriwayatkan oleh Ummu al-Husain R.Anha. Tidak mengapa berteduh dengan khemah, di bawah bumbung, pokok, dan seumpamanya; kerana ia tidak melekat padanya, serupa dengan teduhan gunung dan dinding.

Tambahan lagi, Imam Ibn Qudamah menjelaskan lagi dalam kitabnya yang lain berkenaan sebab keharusan untuk berteduh (bagi orang lelaki yang sedang dalam ihram) iaitu: Kerana apa yang dihalalkan bagi orang yang tidak berihram, turut dihalalkan juga bagi orang yang sedang dalam ihram, kecuali terdapat dalil yang melarang daripada melakukannya. Dan zahir kata-kata Imam Ahmad bahawasanya beliau hanya memakruhkannya sebagai makruh tanzih (makruh yang tidak berdosa jika dilakukan); kerana terdapat perselisihan pendapat mengenainya dan pendapat Ibn Umar R.A, dan beliau tidak melihatnya sebagai haram, dan tidak mewajibkan fidyah. Ini adalah pendapat yang dipilih oleh al-Khiraqi; kerana dia menutup kepala dengan sesuatu yang berterusan dan sering bersamanya, maka ia menyerupai jika dia menutupnya dengan sesuatu yang bersentuhan dengan kepalanya. (Lihat al-Mughni, 3/287).

Berkenaan keharusan menggunakan payung bagi berteduh dari panas terik, para ulama yang mengharuskannya berhujah berdasarkan kepada dalil, iaitu hadith yang diriwayatkan daripada Ummu al-Husain R.Anha, beliau berkata:

حَجَجْتُ مَعَ رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ حَجَّةَ الْوَدَاعِ، فَرَأَيْتُ أُسَامَةَ وَبِلاَلاً وَأَحَدُهُمَا آخِذٌ بِخِطَامِ نَاقَةِ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ وَالآخَرُ رَافِعٌ ثَوْبَهُ يَسْتُرُهُ مِنَ الْحَرِّ حَتَّى رَمَى جَمْرَةَ الْعَقَبَةِ

Maksudnya: “Aku menunaikan haji bersama Rasulullah SAW ketika haji wada’. Ketika itu, aku melihat Usamah dan Bilal, salah seorang daripada mereka memegang tali kendali unta Nabi SAW, dan yang seorang lagi menaikkan pakaiannya untuk menutupi kepala Baginda daripada terik matahari, sehingga mereka melempar Jamrah al-‘Aqabah.”

Riwayat Muslim (1298)

Hadith ini jelas menunjukkan bahawa Nabi Muhammad SAW telah melihat perbuatan Bilal R.A yang melindungi dirinya daripada panas terik matahari dengan kainnya dan tidak melarangnya, serta tidak memerintahkannya untuk membayar fidyah, maka ini menunjukkan bahawa dibolehkan berteduh dengan menggunakan payung yang tidak menyentuh kepala, dan perkara yang seumpamanya yang bersifat terpisah tetapi mengikut yang digunakan oleh orang yang sedang ihram untuk berteduh daripada panas terik; seperti kain jika diangkat di atas kepalanya, dan seperti juga kenderaan.

Imam al-Syaukani menyebutkan:

فِيهِ جَوَازُ تَظْلِيلِ الْمُحْرِمِ عَلَى رَأْسِهِ بِثَوْبٍ وَغَيْرِهِ مِنْ مَحْمِلٍ وَغَيْرِهِ، وَإِلَى ذَلِكَ ذَهَبَ الْجُمْهُورُ

Maksudnya: “Hadith ini menjadi dalil bahawa dibolehkan bagi orang yang sedang berihram untuk melindungi kepalanya dengan pakaian atau barang-barang bawaannya yang boleh dijadikan pelindung, sebagaimana pendapat jumhur ulama dalam masalah ini.” (Lihat Nail al-Autar, 5/12).

Begitu juga Imam al-Nawawi ada menyatakan, hadith ini menunjukkan kepada keharusan untuk orang lelaki yang sedang dalam ihram untuk berteduh (atau melindungi) di atas kepalanya dengan kain atau selainnya (dengan syarat ia tidak bersentuhan dengan kepala), dan ini adalah mazhab kami dan mazhab majoriti ulama; sama ada dia sedang menunggang atau turun (dari tunggangannya). (Lihat al-Minhaj Syarh Sahih Muslim, 9/46).

Kesimpulannya

Oleh yang demikian, berdasarkan kepada perbincangan dan perbahasan di atas, kami berpendapat bahawa tidak ada halangan dari segi syarak bagi orang lelaki yang sedang ihram untuk memayungi kepalanya dengan payung bagi menghindari panas terik matahari dan tidak ada masalah baginya untuk melakukan hal itu, serta tidak wajib baginya fidyah. Ini kerana ia tidak termasuk dalam larangan menutup kepala bagi lelaki yang sedang ihram.

Adapun pendapat ulama yang membantah perbuatan tersebut adalah selari dengan pendapat sebahagian fuqaha. Sekalipun begitu, beliau tidak boleh membantah dalam perkara yang terdapat perbezaan pendapat mengenainya; kerana terdapat kaedah fiqh menyatakan:

لَا إِنْكارَ فِي المُخْتَلَفِ فِيه ، وَإِنَّمَا الإِنْكارُ فِي المُجْمَعِ عَلَيْهُ

Maksudnya: “Tidak ada pengingkaran dalam perkara yang diperselisihkan, tetapi pengingkaran hanyalah dalam perkara yang telah disepakati.

Ditambah lagi, tidak terdapatnya ijma‘ dalam permasalahan ini, maka pengingkaran itu dianggap sebagai suatu penyempitan yang tidak berasas. Ini juga adalah sebagaimana fatwa yang dikemukakan oleh Dar al-Ifta’ al-Misriyyah.[1]

Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang jelas kepada kita semua dalam beragama. Amin.

Kami akhiri dengan doa:

اللّٰهُمَّ اجْعَلْ حَجَّنَا حَجًّا مَبْرُوْرًا، وَعُمْرَتَنَا عُمْرَةً مَبْرُوْرًةً، وَسَعْيَنَا سَعْيًا مَشْكُوْرًا، وَذَنْبَنَا ذَنْبًا مَغْفُوْرًا، وَعَمَلَنَا عَمَلًا صَالِحًا مَقْبُوْلًا، وَتِجَارَتَنَا تِجَارَةً لَنْ تَبُوْرَ.

Maksudnya: “Ya Allah! Jadikanlah haji kami, haji yang mabrur, umrah kami, umrah yang mabrurah, sa’ie kami sa’ie yang diterima, dosa kami dosa yang diampuni dan amalan kami amalan soleh yang dikabulkan dan perniagaan kami perniagaan yang tidak akan mengalami rugi selamanya.”

Nota Hujung:

[1] Lihat https://www.daralifta.org/ar/fatawa/18725/حكماستعمالالمحرمبالحجاوالعمرةللشمسية. Diakses pada 29 Mei 2024.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *