Soalan:

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Apa hukum membasuh kain ihram dengan sabun basuh baju yang ada bau wangi?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Ihram merupakan rukun utama bagi haji dan umrah. Ibn Ruslan menyebutkan dalam matan al-Zubad:

أَرْكَانُهُ الإِحْرَامُ بِالنِّيَةَ قِفْ # بَعْدَ زَوَالِ التِّسْعِ إِذْ تُعْرَفْ

“Rukunnya adalah berihram dengan niat. Juga berwukuflah  #   selepas gelincir matahari pada 9 hari bulan jika diketahui.”

Habib Hasan al-Kaff menyebutkan bahawa ihram bermaksud ialah niat untuk memasuki (memulakan) amalan haji atau umrah dengan cara-caranya. Sekiranya seseorang itu berkeinginan untuk mengerjakan ibadah haji atau umrah, maka hendaklah dia berniat dalam hatinya dan melafazkan dengan mulutnya secara perlahan. Kemudian beliau menyebutkan beberapa contoh lafaz niat bagi umrah dan haji. (Lihat al-Taqrirat al-Sadidah, hlm. 475-476.)

Seseorang yang berada di dalam keadaan berihram hendaklah menjaga pantang larang yang telah ditetapkan oleh syara’ dan sekiranya melanggar larangan-larangan tersebut, maka individu tersebut akan dikenakan dam mengikut jenis larangan yang telah dilakukan olehnya. Terdapat sedikit perbezaan antara perkara-perkara yang dilarang terhadap lelaki yang berihram dan perempuan yang berihram.

Antara larangan dalam ihram adalah seperti berikut:

  • Menutup kepala.
  • Memakai pakaian berjahit.

Manakala larangan-larangan ihram yang khusus bagi perempuan pula adalah:

  • Menutup muka.
  • Mamakai sarung tangan.

Adapun larangan-larangan ihram yang umum bagi lelaki dan perempuan adalah:

  • Berwangi-wangian.
  • Memakai minyak pada rambut atau janggut.
  • Memburu di tanah Haram.

Mencabut dan merosakkan tumbuhan di tanah Haram. (Lihat al-Taqrirat al-Sadidah, hlm. 502)

Kesimpulan

Menjawab persoalan di atas, kami nyatakan dibolehkan untuk membasuh kain ihram dengan sabun yang wangi kerana larangan tersebut hanya terjadi apabila seseorang itu berada dalam ihram. Maka, apabila di luar ihram, maka tidak menjadi masalah untuk menggunakan minyak wangi dan seumpamanya. Namun, sekiranya dia berada dalam ihram dan ingin membasuhnya dengan sabun wangi, maka tidak boleh kerana masih berada dalam pantang larang ihram.

Semoga Allah kurniakan kepada dhuyuf al-Rahman dengan haji yang mabrur.

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ اجْعَلْ حَجًّا مَبْرُوْرًا وَسَعْيًا مَشْكُوْرًا وَذَنْبًا مَغْفُوْرًا وَعَمَلًا صَالِحًا مَقْبُوْلًا وَتِجَارَةً لَنْ تَبُوْرَ. يَا عَزِيْزُ يَا غَفُوْرُ يَا رَبَّ الْعَالَمِين

Maksudnya: “Ya Allah, jadikanlah haji ini haji yang mabrur, sa’i yang diterima, dosa yang diampuni dan amal shaleh yang dikabulkan dan perdagangan yang tidak akan mengalami rugi selamanya.wahai Tuhan yang maha pengampun, Tuhan sekalian alam.”

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *